Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

26-Mar-2020 : Siaran Akbar : Kementerian Tenaga

1.    Merujuk kepada Sidang Media Kementerian Kesihatan berkaitan Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang telah diadakan pada hari Isnin, 23 Mac 2020, di mana persoalan yang diajukan oleh pihak The Scoop dan AnakBrunei menyentuh mengenai garispandu pengasingan diri bagi pekerja-pekerja marin dan luar pantai (offshore) bagi sektor minyak dan gas.

 

2.    Kementerian Tenaga sukacita memaklumkan bahawa sektor tenaga, termasuk industri minyak dan gas, telah menyediakan Standard Operating Procedure (SOP) bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di tempat kerja, di kawasan darat mahupun diluar pantai (offshore).  SOP yang sedia ada berikutan penularan wabak SARS yang lalu telah dikemaskinikan dan dimantapkan lagi menurut garispandu Kementerian Kesihatan mengenai wabak COVID-19.

 

3.    Disamping itu setiap syarikat Operator Minyak dan Gas seperti Syarikat Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd. (BSP), Syarikat Brunei LNG Sdn. Bhd. (BLNG), Syarikat Brunei Shell Marketing Company Sdn. Bhd. (BSM), Syarikat Brunei Gas Carriers Sdn. Bhd. (BGC), Syarikat Brunei Methanol Company Sdn. Bhd.  (BMC) dan Syarikat Hengyi Industries Sdn. Bhd. juga telah mengukuhkan lagi Pelan Kesinambungan Perniagaan (Business Continuity Plan – BCP) masing-masing bagi memastikan operasi secara berterusan dengan mengambil kira keadaan penularan COVID-19 yang meningkat.

 

4.    Di antara langkah-langkah yang diambil adalah pemanjangan tempoh waktu giliran kerja (work shift), pemecahan saiz krew untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada krew, pengurangan interaksi antara ahli-ahli krew dan mengadakan krew standby.  

 

5.    Seterusnya, langkah-langkah khas yang diambil sekiranya pekerja-pekerja marin dan luar pantai (offshore) di sektor minyak dan gas dikehendaki menjalani tempoh pengasingan diri adalah seperti berikut:

 

i.               Pegawai perubatan di kapal atau kompleks luar pantai (offshore complex) akan menilai keadaan pekerja marin atau pekerja luar pantai berkenaan dan seterusnya menempatkan pekerja-pekerja yang terlibat di dalam bilik pengasingan yang dikhaskan.

 

ii.              Pekerja-pekerja yang terlibat akan dipindahkan keluar mengikut prosedur pemindahan perubatan mengikut SOP yang disediakan.

 

iii. Pegawai perubatan dilengkapi dengan kelengkapan pelindung diri (PPE) khas akan membantu dalam proses pemindahan pekerja-pekerja yang terjejas. Apabila sampai ke darat, para pekerja berkenaan akan segera dibawa ke Pusat Perubatan atau Pusat Pengasingan yang terdekat bagi pemeriksaan kesihatan.

 

iv.   Proses pertukaran krew akan ditunda dan kemasukan ke kapal atau kompleks luar pantai (pelantar) yang terjejas disekat sehingga keputusan atau maklumat lanjut mengenai pekerja-pekerja yang terlibat diterima.

 

6.    Jika terdapat kes yang disahkan positif dengan jangkitan COVID-19, semua krew yang berada di dalam kapal atau kompleks luar pantai berkenaan akan menjalani ujian saringan kesihatan dan pengesanan kontak (contact tracing) dengan serta merta.

 

7.    Kementerian Tenaga akan sentiasa memantau perkembangan-perkembangan di sektor tenaga, termasuk sektor minyak dan gas, dalam memastikan pematuhan kepada arahan-arahan Kementerian Kesihatan dan SHENA, dan langkah-langkah diambil dengan sepenuhnya bagi mengawal impak penularan wabak COVID-19 dan menjaga kesejahteraan dan keselamatan tenaga kerja di sektor dan orang ramai serta memastikan operasi sektor tenaga berjalan secara berterusan.

Attachments